Malaysia mengamalkan sistem pendidikan berpusat yang menjadikan kurikulum yang dilaksanakan berupa kurikulum kebangsaan. Kurikulum kebangsaan merupakan suatu program pendidikan yang seragam termasuk kurikulum dan kokurikulum yang merangkumi pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani serta menanam dan mempertingkatkan moral yang diingini dan demi menyampaikan pengetahuan.
Terdapat beberapa matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK) iaitu percaya dan patuh kepada Tuhan, berilmu pengetahuan, memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum, memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu, bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara serta berakhlak mulia. Dengan adanya kurikulum kebangsaan, hasrat pendidikan dan matlamat pendidikan dapat dicapai mengikut komponen-komponen utama dalam kurikulum kebangsaan iaitu kandungan, kaedah dan penilaian.
Komponen pertama dalam kurikulum kebangsaan adalah kandungan. Kandungan kurikulum merupakan pengisian terhadap konteks yang perlu dipelajari oleh para pelajar untuk mencapai matlamat pendidikan. Kandungan pengisian pendidikan mengandungi elemen-elemen seperti pengetahuan, kemahiran, nilai, kebudayaan dan kepercayaan. Misalnya Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan(KSPK), Kurikulum Standard Sekolah Rendah(KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah(KSSM). Dengan ini, komponen pertama ini dapat menentukan standard dan kualiti pendidikan agar matlamat dan hasrat pendidikan tercapai.
Selain itu, komponen kedua dalam kurikulum kebangsaan adalah kaedah. Kaedah merupakan pengalaman dan pembelajaran yang disusun untuk kegunaan berkesan sebagai usaha untuk mengadaptasikan para pelajar menguasai kandungan yang diajar oleh para guru. Antara kaedahnya ialah bercerita, demostrasi, perbincangan dan lawatan. Para pelajar dapat meneroka dan mengkaji secara lebih dalam tentang sesuatu kandungan pengisian. Hal ini demikian, para pelajar dan para guru akan menuju ke arah pencapaian matlamat pendidikan dengan adanya komponen ini.
Di samping itu, komponen ketiga kurikulum kebangsaan merupakan penilaian. Penilaian dapat menentukan tahap sesuatu objektif tercapai. Penilaian akan dilakukan pada pelbagai peringkat menggunakan pelbagai kaedah untuk mendapat bukti keberkesanan pembelajaran dan pencapaian matlamat pendidikan. Kaedah penilaian dapat membantu penambahbaikan kurikulum kebangsaan. Maklumat yang diperolehi daripada tinjauan tersebut menentukan sama ada kurikulum perlu dibaiki, diganti atau dikemaskini. Contohnya, Penilaian Menengah Rendah (PMR) digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan Tiga(PT3) pada tahun 2017. Dengan ini, komponen penilaian amat penting dalam pencapaian hasrat dan matlamat pendidikan kerana ia merupakan penentu standard pendidikan pada masa akan datang.
Kesimpulannya, kurikulum kebangsaan merupakan elemen yang amat penting untuk mencapat hasrat pendidikan dan matlamat FPK. Kurikulum kebangsaan dapat mewujudkan belia yang berkualiti, bertanggungjawab dan berilmu pengetahuan. Segala komponen utama kurikulum kebangsaan harus dipraktikkan supaya dapat merealisasikan matlamat dan hasrat pendidikan Malaysia.
No comments:
Post a Comment