Matlamat Pendidikan dan Perubahan Kurikulum dalam Perkembangan Pendidikan di Malaysia

   

             Pendidikan adalah salah satu agenda besar yang boleh mempengaruhi kualiti dan ketamadunan sesebuah bangsa di dunia. Manusia akan dianggap mundur sekiranya tiada pendidikan. Pendidikan dalam sesebuah masyarakat memerlukan sistem nilai yang mampu dikembangkan dan disuburkan supaya warganya memiliki etika yang tinggi dalam kehidupan. Matlamat pendidikan di Malaysia adalah bertujuan untuk membangunkan rakyat yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berpegang teguh kepada agama, sejahtera diri dan bersedia memberi sumbangan terhadap kemakmuran dan keharmonian keluarga, masyarakat dan negara.

            Selain itu, matlamat pendidikan juga membangunkan manusia berdasarkan fitrah dan melahirkan keharmonian diri. Keharmonian fitrah ini akan membangunkan kehidupan mendokong serta menjunjung prinsip keadilan dan kebenaran (Sidek Baba,2010). Pendidikan juga mesti bertujuan mensosialisasikan individu dalam masyarakat. Pendidikan yang berkualiti juga dapat membentuk fikiran yang sihat. Merujuk kepada Falsafah pendidikan Kebangsaan, pendidikan juga akan melengkapkan individu supaya boleh memahami konsep kemerdekaan dalam kehidupan. Ini akan menjadikan seseorang individu itu menghormati perlembagaan, taat kepada raja dan tahu tanggungjawab sebagai seorang warganegara.

           Rakyat yang mempunyai kriteria berilmu pengetahuan bermaksud rakyat yang gemar membaca dan hasil daripada itu mereka dapat memanfaatkan ilmu yang diambil daripada artikel dan internet dan dikongsikan dengan orang sekeliling. Hal ini juga dapat menjadikan mereka seseorang yang berfikiran luas dan terbuka dalam melakukan atau menentukan sesuatu keputusan yang matang. Dari aspek berketerampilan pula, rakyat yang mempunyai kebolehan dalam melaksana dan menyempurnakan sesuatu tugas dengan cemerlang. Matlamat pendidikan juga bermatlamat melahirkan rakyat yang berakhlak mulia yang bermaksud rakyat tahu dan sedar akan nilai baik dan buruk terhadap sesuatu perkara yang dilakukannya. Dari segi tanggungjawab, rakyat dapat menyedari tugas dan tanggungjawab adalah satu amanah yang mesti dilaksanakan dengan sempurna seperti bersih, cekap dan amanah.

          Dalam konteks perubahan kurikulum, perancangan dan pembentukan kurikulum adalah didasari oleh falsafah dan matlamat pendidikan negara yang menentukan arah haluan, asas dan sumber inspirasi kepada semua usaha dan rancangan dalam bidang pendidikan. Kepentingan penambahbaikan dan perubahan kurikulum sebagai cabang ilmu pendidikan yang mampu menjana ekonomi sesebuah negara. Pendekatan pedagogi dalam pembentukan kurikulum ini amat penting bagi melahirkan guna tenaga mahir yang seiring dengan keperluan industri dan pasaran negara. Penentuan kurikulum juga amat penting bagi menjadikan sistem pendidikan Malaysia stabil serta melahirkan warganegara yang berketerampilan tinggi.

          Penilaian atau kajian berterusan adalah diperlukan untuk memastikan matlamat dan kehendak masyarakat terhadap pendidikan benar-benar terlaksana. Misalnya, dalam masyarakat industri, pendidikan harus mempunyai strategi terhadap ciri-ciri ekonomi, politik, sosial dan budaya masyarakat tersebut. Dalam masyarakat pertanian pula, ciri-ciri kurikulumnya adalah berbeza. Masyarakat mengkehendaki murid-murid mempelajari kemahiran-kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira serta teknik-teknik asas untuk menyertai kehidupan sesuatu masyarakat, seperti mengambil bahagian dalam perbincangan, kepimpinan dan pemikiran kritis dalam suatu sistem demokratik. KBSR telah digubal dengan tujuan untuk membolehkan murid-murid menguasai bahasa Melayu dengan memuaskan, menguasai kemahiran asas berbahasa seperti bertutur, membaca dan menulis, menguasai kemahiran mengira, menguasai Bahasa Inggeris dan membina dan memupuk akhlak yang mulia.

      Proses perkembangan kurikulum sebagai sifatnya yang sentiasa berubah turut dipengaruhi oleh faktor-faktor persekitaran yang merangsang reaksi manusia yang terlibat dalam kepentingannya. Hasrat terhadap perubahan kurikulum itu menggambarkan keperluan pendidikan yang menjadi wadah penerusan kepada kemajuan tamadun bangsa dan negara itu sendiri. Dapatlah dikatakan bahawa faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan kurikulum itu sendiri mencerminkan idealisme dan perubahan keperluan masyarakat dan negara, melalui institusi persekolahan yang akan meneruskan kebudayaan atau mencetuskan tamadun baru.

Peranan Kurikulum Kebangsaan dan Kurikulum Sekolah ke arah mencapai Matlamat Pendidikan Malaysia

 

Bagaimanakah kurikulum kebangsaan berperanan sebagai wahana untuk mencapai Hasrat pendidikan dan matlamat FPK?


       Malaysia mengamalkan sistem pendidikan berpusat yang menjadikan kurikulum yang dilaksanakan berupa kurikulum kebangsaan. Kurikulum kebangsaan merupakan suatu program pendidikan yang seragam termasuk kurikulum dan kokurikulum yang merangkumi pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani serta menanam dan mempertingkatkan moral yang diingini dan demi menyampaikan pengetahuan.

 

            Terdapat beberapa matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK) iaitu percaya dan patuh kepada Tuhan, berilmu pengetahuan, memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum, memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu, bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara serta berakhlak mulia. Dengan adanya kurikulum kebangsaan, hasrat pendidikan dan matlamat pendidikan dapat dicapai mengikut komponen-komponen utama dalam kurikulum kebangsaan iaitu kandungan, kaedah dan penilaian.

 

            Komponen pertama dalam kurikulum kebangsaan adalah kandungan. Kandungan kurikulum merupakan pengisian terhadap konteks yang perlu dipelajari oleh para pelajar untuk mencapai matlamat pendidikan. Kandungan pengisian pendidikan mengandungi elemen-elemen seperti pengetahuan, kemahiran, nilai, kebudayaan dan kepercayaan. Misalnya Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan(KSPK), Kurikulum Standard Sekolah Rendah(KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah(KSSM). Dengan ini, komponen pertama ini dapat menentukan standard dan kualiti pendidikan agar matlamat dan hasrat pendidikan tercapai.

 

            Selain itu, komponen kedua dalam kurikulum kebangsaan adalah kaedah. Kaedah merupakan pengalaman dan pembelajaran yang disusun untuk kegunaan berkesan sebagai usaha untuk mengadaptasikan para pelajar menguasai kandungan yang diajar oleh para guru. Antara kaedahnya ialah bercerita, demostrasi, perbincangan dan lawatan. Para pelajar dapat meneroka dan mengkaji secara lebih dalam tentang sesuatu kandungan pengisian. Hal ini demikian, para pelajar dan para guru akan menuju ke arah pencapaian matlamat pendidikan dengan adanya komponen ini.

 

            Di samping itu, komponen ketiga kurikulum kebangsaan merupakan penilaian. Penilaian dapat menentukan tahap sesuatu objektif tercapai. Penilaian akan dilakukan pada pelbagai peringkat menggunakan pelbagai kaedah untuk mendapat bukti keberkesanan pembelajaran dan pencapaian matlamat pendidikan. Kaedah penilaian dapat membantu penambahbaikan kurikulum kebangsaan. Maklumat yang diperolehi daripada tinjauan tersebut menentukan sama ada kurikulum perlu dibaiki, diganti atau dikemaskini. Contohnya, Penilaian Menengah Rendah (PMR) digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan Tiga(PT3) pada tahun 2017. Dengan ini, komponen penilaian amat penting dalam pencapaian hasrat dan matlamat pendidikan kerana ia merupakan penentu standard pendidikan pada masa akan datang.

           

            Kesimpulannya, kurikulum kebangsaan merupakan elemen yang amat penting untuk mencapat hasrat pendidikan dan matlamat FPK. Kurikulum kebangsaan dapat mewujudkan belia yang berkualiti, bertanggungjawab dan berilmu pengetahuan. Segala komponen utama kurikulum kebangsaan harus dipraktikkan supaya dapat merealisasikan matlamat dan hasrat pendidikan Malaysia.

 

Kurikulum standard Kebangsaan ke arah menterjemahkan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)

 

PENSYARAH

DR. ZAINI BIN ABDULLAH